Berfikiran Positif
“Fikir
positif!”...ayat ini sangat senang diungkapkan namun ianya adalah suatu
perkara yang mencabar untuk dilaksanakan terutama sekali ketika sedang
dilanda musibah atau tekanan yang pelbagai. Kita
perlu mendapat kefahaman dan gambaran yang jelas tentang apakah yang
dikatakan berfikiran positif bagi membolehkan kita mengamalkannya.
Apa itu berfikiran positif?
Sebenarnya,
ia adalah sesuatu yang lebih meluas dan bukannya hanya tertumpu pada
pemikiran semata-mata. Ia merangkumi keseluruhan cara kita mengendalikan
kehidupan kerana berfikiran positif bermaksud memberikan fokus kepada
perkara-perkara positif yang berlaku berbanding perkara-perkara negatif, sentiasa
berfikir yang baik-baik tentang diri sendiri dan bukanlah mengkritik
diri sendiri, sentiasa berfikir yang baik-baik tentang orang sekeliling
dan berurusan dengan mereka dengan cara yang positif serta sentiasa
mengharapkan perkara yang baik-baik akan berlaku di sekeliling kita dan
percaya bahawa ianya memang akan menjadi kenyataan.
Apabila melihat kepada definisi berfikiran positif secara meluas ini menyebabkan kita terfikir “wujudkah manusia sebegini?”, “Impossiblela nak
positif sepanjang masa” kerana sebagai manusia, kadangkala kita
mengalami pelbagai ujian dan cabaran yang mengganggu pemikiran sehingga
menyebabkan kita berfikir dan bertindak dengan cara yang tidak
sepatutnya. Namun begitu, dengan latihan berterusan, suatu masa nanti,
kita pasti akan menjadi seorang yang mampu berfikir dan bertindak secara
positif walau apa pun yang berlaku pada kita.
Kenapa perlu berfikiran positif?
Cara
kita menerima sesuatu perkara atau pengalaman yang berlaku dalam
kehidupan adalah bergantung kepada apa yang kita fikirkan tentang
perkara tersebut. Jika kita menghadapi sesuatu isu dengan pesimis,
mengkritik dan penuh dengan rasa curiga, maka kita akan melalui
pengalaman kehidupan yang negatif. Namun begitu, jika kita mendepani
kehidupan ini dengan optimis, seronok dan yakin, kita akan membentuk
suatu kehidupan yang lebih positif yang memberikan kita tenaga untuk
terus bertindak dengan cara yang betul.
Sebagai
contoh,peristiwa pekerja yang dimarahi oleh ketua kerana tidak
menyiapkan tugas dengan sempurna, bagi pekerja yang memandang perkara
ini sebagai suatu kritikan, ketua sengaja mencari kesalahan dan ketua
tidak adil akan merasa tertekan dan rasa tidak puas hati. Ia akan
memberi kesan yang tidak baik kepada emosi dan tindakan pekerja
tersebut. Beliau mungkin akan memberontak, tidak melakukan kerja yang
diarahkan atau terus tidak hadir bertugas.
Namun, bagi pekerja yang
mengambil teguran itu sebagai suatu motivasi untuk meningkatkan prestasi
dalam melaksanakan tugas, pekerja tersebut akan berusaha lebih gigih
dan membuktikan bahawa beliau boleh menjadi pekerja yang baik dan
menghasilkan kerja yang berkualiti. Dari contoh ini menunjukkan bahawa
cara kita menilai dan membuat pertimbangan terhadap suatu isu
mempengaruhi kesan yang berlaku kepada diri dan persekitaran kita. Jika
kita ingin kesan yang positif, kita perlulah membuat pertimbangan secara
positif.
Jika kita gagal membuat pertimbangan yang positif, maka
kitalah yang akan menanggung akibatnya.
Tips Positif!!
1. Sedar Tentang Perasaan Sendiri
Cara
yang paling mudah untuk mengenalpasti samada kita positif atau negatif
adalah dengan mengenalpasti perasaan kita. Sebenarnya, semakin kita
sedar tentang perasaan yang kita sedang alami, semakin mudah untuk kita
mengubah perasaan dari negatif kepada positif.
2. Ubah perkataan yang digunakan.
Apa
yang kita sebut, menghantar isyarat yang berbeza pada minda seterusnya
memberikan kesan kepada cara kita menghadapi perkara tersebut. Sentiasa
gunakan perkataan-perkataan yang positif semasa berfikir dan bercakap.
Gunakan perkataan seperti “aku boleh”, “aku mampu”, “ianya pasti
berlaku” dan tukarkan perkataan seperti “masalah” kepada “cabaran” bagi memberi kesan yang lebih positif pada diri.
3. Sekat pemikiran negatif
Latih
diri untuk mengabaikan pemikiran negatif. Apabila pemikiran negatif
timbul, gantikan dengan memikirkan perkara-perkara yang menggembirakan.
Cuba untuk melihat sesuatu perkara dari dimensi yang berbeza.
4. Berangan
Sebelum
memulakan sesuatu perancangan, bayangkan di dalam minda tentang
kejayaan yang bakal diperolehi. Jika anda membayangkan perkara tersebut
dengan penuh konsentrasi dan kepercayaan, anda akan kagum dengan
hasilnya.
5. Membaca
Luangkan
masa untuk membaca sekurang-kurangnya 1 muka surat buku-buku yang boleh
memberikan kita motivasi. Ilmu boleh membuka minda kita dan menjadikan
kita lebih positif
6. Aktiviti fizikal
Libatkan
diri dengan apa jua aktiviti fizikal seperti berjalan, berenang atau
apa sahaja aktibiti sukan. Ia akan membuatkan kita lebih cergas dan
membina sikap positif dalam diri. Semasa aktiviti fizikal juga, toksin
dikeluarkan dari anggota badan dan ianya boleh mengurangkan stres yang
kita alami.
7. Bergaul dengan orang positif
Persekitaran
kita mempengaruhi hidup kita. Jika kita di kelilingi orang-orang yang
negatif, maka kita berkecenderungan untuk menjadi negatif. Apabila kita
dilanda musibah, carilah orang yang boleh memberi pandangan yang baik
dan menjadikan kita lebih fokus ke arah penyelesaian masalah dan
bukanlah orang yang menggalakkan kita untuk meratap dan menjadikan kita
semakin negatif.
8. Nobody is perfect!!
Tiada
siapa yang sempurna dan tidak pernah membuat kesilapan. Jadi usahlah
kita terlalu asyik memikirkan tentang kesilapan yang telah dilakukan.
Apa yang penting, kita belajar sesuatu dari kesilapan itu dan berusaha
ke arah yang lebih baik agar kesilapan yang sama tidak berulang.
9. Bersyukur
Saat
sedang dilanda musibah, bersyukur adalah sesuatu yang amat susah untuk
kita lakukan. Tapi tanpa kita sedari, dengan adanya rasa bersyukur itu
menyebabkan kita lebih fokus kepada apa yang kita ada berbanding
meratapi perkara-perkara yang tidak ditakdirkan untuk kita. Jadi
bersyukurlah, kerana tidak semua orang ada apa yang kita ada.
10. Senyum
Senyumlah
dan isi dunia akan senyum pada kita. Senyum membebaskan hormon
endorphin dan serotonin dan menyebabkan kita merasa lebih tenang dan
gembira. Senyum adalah produk anti-penuaan termurah dan termudah,
cubalah!!