January 25, 2010

aNak dUrhaka


BARU-BARU ini kita digemparkan dengan kisah anak derhaka yang sanggup membuangkan bapa mereka yang sudah dimamah usia sehingga terpaksa merempat meminta belas ihsan orang lain. Dalam kes pertama, seorang bapa yang baru saja menjalani pembedahan jantung ditinggalkan di sebuah perhentian bas kerana dikatakan kehadirannya tidak disukai isteri dan anaknya, lalu kehadirannya di rumah boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga mereka.

Dalam kes kedua pula, seorang bapa yang sedang menghidap penyakit buah pinggang kronik dianggap sebagai beban bagi anak-anak kerana perlu menghantar bapa mereka ke pusat hemodialisis, lalu ditinggalkan bapanya yang sedang sakit itu di pusat terbabit.

Maka tercampaklah kedua-dua bapa yang suatu ketika dulu bertungkus-lumus membanting tulang membesarkan anak, di rumah orang tua Jabatan Kebajikan Masyarakat. Apa yang lebih mendukacitakan, sifat tidak berperikemanusiaan ini timbul di kalangan mereka mengaku sebagai orang Islam sedangkan Islam mencela dengan keras perbuatan seumpama ini.

Nabi SAW pernah bertanya kepada sahabat sebanyak tiga kali: "Mahukah aku memberitahu kalian mengenai dosa yang paling besar?" Maka mereka pun menjawab: "Sudah tentu wahai Rasulullah." Baginda menjelaskan: "Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibu bapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu." – Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

Lihatlah bagaimana dosa menderhaka kepada ibu bapa ini diletakkan dalam satu kategori bersama dosa mensyirikkan Allah SWT iaitu dosa yang paling keji di atas muka bumi ini.

Justeru, Islam mengajar penganutnya agar sentiasa berusaha untuk menggembirakan ibu bapa lebih-lebih lagi yang sudah lanjut usianya dengan apa juga cara selagi ia tidak bercanggah dengan syarak. Islam melarang seseorang itu sama sekali untuk bersikap kasar kepada ibu bapanya. Firman-Nya: "Dan Tuhanmu memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia." – Surah al-Israa' ( 17 : 23).

Menjaga ibu bapa yang sudah tua bukan satu urusan mudah. Kebiasaannya tubuh dimamah usia menyebabkan pergerakan mereka terbatas bahkan ada kalanya memerlukan bantuan daripada anak. Jiwa mereka juga semakin sensitif, kuat terasa hati, bahkan agak cerewet dalam banyak perkara.

Ada juga yang sudah mula lemah daya ingatannya menyebabkan perbualan dengan mereka kadang kala boleh menyebabkan anak hilang sabar. Namun kesukaran dalam menjaga ibu bapa ini tidak datang dengan sia-sia. Bagi mereka yang sabar dengan kerenah ibu bapa mereka dan tetap menjaga mereka dengan baik dalam apa juga suasana, maka mereka sebenar menempah tiket untuk ke syurga.

Rasulullah SAW pernah mencela mereka yang memiliki ibu bapa yang sudah lanjut usia namun masih tidak mampu untuk memasuki syurga. Baginda pernah bersabda: "Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!" Baginda ditanya: "Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?" Baginda menjawab: "Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga." – Hadis riwayat Muslim.

Kedudukan istimewa ibu bapa terserlah apabila Rasulullah SAW tidak membenarkan seseorang melaksanakan satu misi besar lagi penting dalam urusan dakwah sekiranya ia bakal mengundang kesedihan kepada ibu bapanya atau tidak mendapat keizinan mereka.

Ketika peristiwa Hijrah, ada seorang sahabat datang kepada baginda dengan memberi taat setia (bai'ah) untuk turut berhijrah, namun perbuatannya ini menyebabkan kedua ibu bapanya menangis. Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: "Kembalilah kepada mereka berdua dan jadikanlah mereka berdua ketawa (gembirakanlah mereka) sebagaimana kamu jadikan mereka menangis." – Hadis riwayat Imam al-Nasaa'i.

Di dalam peristiwa lain, seorang lelaki dari Yaman berhijrah kepada Rasulullah SAW untuk berjihad bersama baginda, namun apabila baginda mendapati dia belum mendapat keizinan kedua ibu bapanya maka baginda bersabda: "Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin daripada mereka berdua. Jika mereka mengizinkan kau maka berjihadlah akan tetapi (jika tidak) maka berbuat baiklah kepada mereka berdua." – Hadis riwayat Abu Daud.

Lihatlah bagaimana berbakti kepada ibu bapa itu lebih utama berbanding dua perkara yang begitu penting dalam Islam iaitu peristiwa hijrah dan juga jihad.

Berhati-hatilah bagi anak yang pernah melukakan hati kedua orang tua mereka. Janganlah tindakan mereka itu sehingga menyebabkan ibu mahupun bapa mendoakan keburukan terhadap anak kerana doa golongan yang dizalimi dan doa ibu bapa itu pasti makbul. Rasulullah pernah bersabda: "Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan tanpa diragui lagi, doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya." – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi.

Sikap biadap kepada ibu bapa ini turut bertentangan dengan budaya Melayu yang terkenal dengan tatasusila tinggi serta lemah lembut. Entah mana silapnya sifat jelik menghina dan membuang bapa sehingga merempat di tepi jalan ini boleh wujud di tengah-tengah masyarakat Melayu beragama Islam.

Penduduk sekeliling perlu menghukum mereka yang menzalimi orang tua mereka dengan memboikot mereka dalam urusan harian agar mereka tahu perbuatan mereka itu tidak diterima oleh masyarakat. Jangan kita berlembut dengan si penderhaka yang tidak tahu mengenang jasa orang tuanya itu. Sekiranya terhadap bapanya yang membesarkannya sanggup dizalimi, apakah yang menghindarkannya daripada menzalimi jiran tetangga?

Secara realitinya setiap manusia sememangnya tidak boleh lari daripada melakukan kesilapan, namun hendaklah seseorang itu menebus apa juga kesilapannya dengan tidak meneruskan perbuatan itu serta bertaubat.

No comments:

Post a Comment